KAKITANGAN PHARMANIAGA RAI LEBIH 100 ANAK-ANAK YATIM, GOLONGAN ASNAF DAN PELAJAR TAHFIZ DI MAJLIS IFTAR

June 9, 2017

SHAH ALAM, 9 Jun 2017 – Sambutan Ramadan tahun ini lebih bermakna kepada kira-kira 200 kakitangan dan pihak pengurusan Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga), apabila syarikat farmaseutikal tersebut telah meraikan lebih 100 anak-anak yatim dan golongan asnaf pada majlis iftar di Pusat Konvensyen Setia City.
Majlis iftar ini merupakan acara tahunan yang dijalankan oleh Pharmaniaga bertujuan untuk menggalakkan para kakitangan Kumpulan berbuka puasa bersama-sama dengan anak-anak yatim dan golongan asnaf sekaligus mendekatkan jurang antara mereka dengan anak-anak tersebut. Di samping itu, majlis ini turut menjadi platform untuk berkongsi kegembiraan dan keceriaan dalam menyambut kehadiran Syawal.
“Tahun ini kami meraikan anak-anak yatim dan asnaf dari dua buah rumah kebajikan dan dua sekolah maahad iaitu dari Rumah Pengasih Warga Prihatin, Bangi; Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong; Maahad Tahfiz Ribath Darussalam, Klang; dan Aulad Mubarak (Naungan Anak Warisan Kasih), Port Klang.
Rumah kebajikan dan sekolah maahad ini merupakan rumah perlindungan yang menempatkan anak-anak yatim, golongan asnaf dan ibu-ibu tunggal” jelas Dato’ Farshila Emran, Pengarah Urusan Pharmaniaga.
“Program ini adalah program tradisi setiap tahun Pharmaniaga di mana kami meraikan anak-anak yatim dan asnaf pada setiap bulan Ramadan “, tambah Dato’ Farshila.
Anak-anak yatim dan golongan asnaf tersebut telah di bawa khas dari Bangi, Puchong dan Klang bersama-sama dengan guru pengiring serta penjaga rumah masing-masing. Setiap kakitangan Pharmaniaga yang hadir turut beramah mesra serta menjamu anak-anak ini dari awal sehingga majlis berakhir.
Mereka telah diraikan dengan pelbagai juadah berbuka puasa dan turut menerima duit raya, beg sekolah, barangan RoyalPharma dan Vitamin C Citrex sebagai hadiah sumbangan dan tanda ingatan. Majlis iftar ini telah dimulakan dengan bacaan tazkirah, diikuti dengan zikir dan doa serta solat berjemaah.
“Semoga majlis seumpama ini dapat memberikan anak-anak yang tidak mempunyai ayah dan ibu merasakan kasih sayang dan keprihatinan dari kakitangan kami” ujar Dato’ Farshila.