PHARMANIAGA BAWA KECERIAAN SYAWAL KEPADA PUAN SANIAH – SEORANG IBU TUNGGAL DI BATU PAHAT

 

June 22, 2017

BATU PAHAT, 22 Jun 2017 – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, begitulah pepatah yang dapat digambarkan oleh lebih 20 kakitangan sukarelawan Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) dari Shah Alam, Selangor ketika mereka turun padang untuk kerja-kerja penambahbaikan serta dekorasi raya di rumah seorang ibu tunggal dan cucu perempuannya yang lebih mesra dikenali sebagai nenek Saniah dan Lina.
Tahun ini membawa seribu kelainan kepada nenek Saniah dan Lina apabila salah seorang penduduk di kampung tersebut telah menawarkan kepada mereka untuk berpindah dari bangsal yang mereka duduki ke sebuah rumah kosong peninggalan saudaranya yang telah meninggal dunia baru-baru ini. Namun begitu, kesempitan kehidupan telah membataskan kedua-dua beranak ini untuk membuat persediaan menyambut kehadiran Syawal yang bakal menjelang.
“Berita kedaifan nenek Saniah ini kami perolehi dari laman sosial yang telah dimuat naik oleh salah seorang ahli farmasi ketika membuat lawatan dari rumah ke rumah atau pun lebih dikenali sebagai Home Visit (HMR). Kesukaran hidup nenek Saniah ini amat menyentuh hati kami di Pharmaniaga, ditambah dengan masalah kesihatan yang beliau hadapi, kami terpanggil untuk menyalurkan sumbangan kepada beliau,” kata Dato’ Farshila Emran, Pengarah Urusan Pharmaniaga.
“Bersempena dengan sambutan Syawal yang bakal tiba, pasukan sukarelawan kami telah turun padang untuk bersama-sama membantu memenuhi kelengkapan rumah nenek Saniah dengan menukar cat baru rumah yang diduduki beliau, membeli perabot, meja makan, kabinet dapur, memasang langsir dan membaikpulih beberapa bahagian rumah tersebut,” tambah Dato’ Farshila lagi.
Di samping itu, pihak Pharmaniaga juga turut menyalurkan kelengkapan asas yang lain seperti makanan, pakaian, peralatan penjagaan peribadi serta barangan elektrik untuk kegunaan harian nenek Saniah dan Lina.
Sebelum berpindah ke rumah ini, nenek Saniah dan Lina tinggal di sebuah bangsal yang beratap dan berdindingkan zink tanpa kelengkapan asas yang cukup termasuk sumber bekalan air dan elektrik. Wanita berusia 77 tahun ini telah menduduki bangsal tersebut bersama-sama dengan cucunya sejak kematian arwah suaminya tiga tahun yang lalu.
“Nenek amat bersyukur dan berterima kasih kerana ramai yang datang membantu nenek, sambutan aidilfitri kali ini amat berbeza buat kami kerana banyak kelengkapan asas rumah telah disumbangkan,” ujar nenek Saniah mengakhiri perbualan.