PHARMANIAGA LANCAR CITREX VITAMIN C 100MG

July 27, 2017

SERDANG, 27 Julai 2017 – Vitamin C merupakan nutrisi lazim yang boleh diambil oleh sesiapa sahaja tidak kira kanak-kanak, orang dewasa mahupun orang tua. Seiring dengan itu, Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) telah melancarkan Citrex Vitamin C 100mg untuk kanak-kanak bertempat di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang bersempena dengan penganjuran Malaysia Islamic Children’s Fair (MICF).
Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Encik Zulhazri Razali, Pengarah Komersial Pharmaniaga bersama-sama dengan Pihak Pengurusan Kanan Syarikat.
“Citrex Vitamin C 100mg keluaran Pharmaniaga ini mudah dikunyah dan boleh didapati dalam dua perisa iaitu oren dan anggur sesuai diambil secara harian oleh kanak-kanak berumur empat tahun ke atas” ujar Encik Zulhazri Razali, Pengarah Komersial Pharmaniaga.
Pelancaran Citrex Vitamin C 100mg kini tampil dengan memperkenalkan watak Adiwira siri animasi popular tempatan, Boboiboy sebagai duta produk. Boboiboy telah dibawa khas bertemu dengan peminat ciliknya pada hari pelancaran. Penampilan animasi tempatan ini telah memikat perhatian lebih 100 kanak-kanak yang hadir di pelancaran itu sekaligus menjadikan suasana di pentas utama lebih meriah dan menghiburkan.