Program PharmaCare Sekolah 3M

Program PharmaCare Sekolah 3M

 

22 August 2022

Pihak Pharmaniaga dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  telah mengambil langkah responsif dengan mengadakan “Program PharmaCare Sekolah 3M” di Pulau Berhala, Sandakan, Sabah pada 22 Ogos 2022. Usaha ini dilakukan bagi mengatasi masalah kekangan terhadap akses pendidikan asas ke atas kanak-kanak yang tidak memiliki status kewarganegaraan di Pulau Berhala tersebut. Sekolah 3M yang dibangunkan oleh ATM lebih menumpukan untuk melatih kanak-kanak di Pulau Berhala dengan pengetahuan asas seperti menulis, membaca dan mengira, termasuklah meningkatkan patriotisme dan aspek kerohanian mereka menerusi kelas mengaji yang disediakan.

 

Selaras dengan matlamat kelestarian Syarikat iaitu “Building A Better Society”, pihak Pharmaniaga telah menyokong usaha ATM dengan memberikan bantuan persekolahan kepada para pelajar seperti uniform sekolah, beg sekolah, set alat tulis, peralatan sukan, rak buku dan Citrex Vitamin C. Ubat-ubatan serta rak ubat juga turut disumbangkan kepada Klinik Markas Taktikal Pulau Berhala. Sumbangan telah diserahkan oleh Datuk Zulkarnain Md Eusope, Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga kepada Laksamana Muda Sazalee Shoib, Panglima Markas Wilayah Laut 2; Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad, Komander Angkatan Tugas Bersama 2 dan Kolonel Mohd Shukri Mohd Ghazali, Pengarah Pendidikan ATM. Program ini dimeriahkan lagi dengan acara sukaneka yang dikendalikan oleh anggota ATM untuk pelajar-pelajar di Sekolah 3M. Semoga program ini dapat melahirkan anak-anak yang berpendidikan dan celik ilmu. Turut hadir Leftenan Kolonel Marzuki Md Yusof, Timbalan Komander Rejimen 515 Askar Wataniah; Dato’ Najmuddin Abdullah, Ketua Komunikasi dan Pemasaran Pengguna Pharmaniaga; Dr. Badarulhisam Abdul Rahman, Ketua Jabatan Kelestarian, Penyelidikan dan Pembangunan Pharmaniaga serta En. Aminuddin Ab Rahman, Pegawai Perhubungan Kerajaan.