Pihak Pharmaniaga yang diwakili oleh Datuk Zulkarnain Md Eusope, Pengarah Urusan Kumpulan telah menyumbangkan wang tunai dan suplemen kesihatan keluaran Pharmaniaga seperti Vitamin C Citrex, Baraka dan lain-lain kepada keluarga Encik Che Aziz Che Teh di Kg Kubang Palas, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan pada 7 November kerana rumahnya telah musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran. Dalam kejadian tragis ini, Encik Che Aziz mengalami kecedaran melecur tahap dua pada bahagian badan dan muka kerana telah mencuba untuk menyelamatkan motosikal beliau. Isteri dan anak yang tinggal bersamanya pula tidak mengalami sebarang kecederaan. Kini, Encik Che Aziz sekeluarga tinggal di rumah sewa yang dibayarkan oleh anak-anaknya yang lain. Turut hadir pada hari itu adalah En. Abdul Malik Mohamed, Pengarah Logistik dan Edaran, Puan Ida Marianna Abdul Rashid, Pengarah Perancangan Strategik, Dato’ Zuhri Iskandar Kamarzaman, Timbalan Pengarah Perkhidmatan Korporat dan Dato’ Mohammad Imran Ismail, Pegawai Khas Pejabat Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga. Semoga sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan beban Encik Che Aziz dan sekeluarga.